Orang yang bijak lebih suka ditimpa dengan ujian kesusahan dari ujian kesenangan kerana kesenangan lebih cenderung untuk menjadikan kita lupa diri manakala ujian kesusahan sering saja menyedarkan kita tentang kelemahan diri. Apabila hidup menjadi terlalu sukar kita mungkin terpaksa bersabar (kerana itu saja yang kita mampu buat) tetapi apabila hidup dilimpahi kekayaan dan diselimuti kemewahan tidak ada pula orang yang terpaksa bersyukur. Oleh kerana itu sahabat-sahabat Rasulullah SAW lebih takutkan ujian kemewahan dari ujian kemiskinan.
Kesukaran dan kemiskinan hidup kadang-kadang menghidupkan kepekaan jiwa hinggakan kita lebih banyak memikirkan kepentingan orang lain dari kepentingan peribadi menyebabkan kita membesar dengan jiwa masyarakat. Sedang kemewahan menjadikan kita manusia yang sibuk dengan keperluan dan kepentingan diri bahkan kadang-kadang menjadikan rakus walau terhadap harta dan kekayaan orang lain.
Hidup ini keseluruhannya merupakan ujian. "Dialah yang menjadikan kematian dan kehidupan, untuk menguji diantara kamu siapkah yang paling baik amalannya." (Al Mulk).
Kesusahan adalah bentuk ujian yang menguji kesabaran dan kepasrahan kita kepada segala ketentuan Allah. Sedangkan kemewahan dan kekayaan akan menguji sifat syukur. bahkan yang lebih berat ialah ujian kemewahan. Dalam satu hadith Rasulullah menggambarkan bahawa baginda tidak takut ummatnya akan syirik tetapi baginda takut apabila ummatnya dibentangkan dengan dunia dan segala kemewahannya lalu mereke berpaling dari agama Allah SWT. Sahabat-sahabat Rasul ada yang diuji dengan kemewahan tetapi mereka begitu tinggi ketaqwaan atau sensitivitinya dengan dosa dan batas-batas larangan Allah SWT.
Ibadah-ibadah khususiyyah dalam Islam sebenarnya merupakn saranan atau proses penyuburan jiwa dengan iman dan taqwa. Jika ibadah kita tidak menjauhkan kita dari dosa dan maksiat, mungkin ada yang tidak kena dengan ibadah kita. maka jadikan Rasulullah SAW dan para sahabat RA sebagai contoh ikutan kita dalam menghadapi hal ini.
No comments:
Post a Comment