Monday, November 2, 2015

.:punca hilangnya hijau itu:.



Pada hari ini pencemaran alam sekitar berlaku di mana-mana dan ia merupakan satu perkara yang besar bukan sahaja di negara kita, malah turut juga dihadapi oleh negara-negara membangun yang lain. Mengapakah keadaan sedemikian berlaku?


Pencemaran yang berlaku secara berleluasa di negara kita adalah disebabkan oleh pelbagai unsur. Mengikut hasil kajian yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 91% kejadian pencemaran terutamanya pencemaran sungai yang berlaku di negara kita adalah disebabkan oleh najis, sama ada najis haiwan mahupun najis manusia.
Antara unsur lain berlakunya pencemaran termasuklah disebabkan oleh bahan kumbahan dan baja yang digunakan untuk tujuan pertanian terutamanya yang mengandungi galian seperti nitrat dan fosfat. Pencemaran juga berlaku adalah disebabkan oleh penghasilan kelodak dan bahan-bahan lain berbentuk pepejal seperti tanah, bahan buangan daripada kawasan pembinaan serta kawasan perbandaran dan juga disebabkan oleh hakisan tebing sungai apabila berlakunya hujan lebat.
Di samping itu, bahan buangan daripada kilang-kilang, pembasmian hutan dan pembangunan industri juga menjadi punca berlakunya pencemaran terhadap alam sekitar kita. Mungkin ada antara kita yang sedia maklum bahawa kebanyakan bahan pencemar selalunya cepat tersebar dan boleh meliputi kawasan yang luas dalam jangka masa yang singkat sahaja. Pencemaran seperti ini boleh juga disifatkan sebagai pencemaran jangka pendek. Manakala, bagi pencemaran jangka panjang pula, ia memerlukan perhatian yang khusus walaupun ianya masih lagi pada tahap yang rendah di negara kita, kerana ia boleh memberi kesan yang besar kepada seluruh ekosistem melalui rantaian hidupan.
Pencemaran tanah dan air bawah tanah misalnya tidak boleh tersebar dalam jangka masa yang cepat. Namun demikian ia boleh memberi kesan yang besar kepada hidupan terutamanya jenis haiwan yang menghuni sesuatu ekosistem. Sebagai contoh, aliran kehidupan biasa dalam kitar pembiakan haiwan seperti spesies katak sudah tergangu, puncanya adalah merujuk kepada pencemaran dan keracunan yang berlaku disebabkan oleh pencemaran jangka panjang, dan sebahagian saintis khuatir sekiranya keadaan tersebut berterusan, ia akhirnya akan turut memberi kesan kepada manusia.
Di dalam surah Asy Syura ayat 30, Allah berfirman yang membawa maksud;
“Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (akibat perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa), dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dosa-dosa kamu.

4 comments:

  1. Teringat akan lirik lagu "Hijau" oleh penyanyi bernama Zainal Abidin. Kalau difahami mendalam setiap bait-bait lirik itu, barulah kita sedar bahawa tangan manusialah yang banyak membinasakan Bumi yang tercinta ini. Semoga manusia di muka Bumi Allah ini dianugerahkan hidayah supaya dapat menghargai apa yang ada di sekelilingnya.

    ReplyDelete
  2. kerakusan dalam mengejar kemajuan...
    kita harus memainkan peranan bagi menjamin generasi akan datang mendapat seperti apa yang kita ada sekarang

    ReplyDelete
  3. dalam meniti arus kemodenan, perkara yang paling dilupakan adalah tempat di mana sebenarnya kita berpijak...

    ReplyDelete
  4. Kita harus bersama-sama menjaga keindahan alam

    ReplyDelete