'HIJAU' sering di sinonimkan dengan alam sekitar. Pada hari ini
pencemaran alam sekitar berlaku di mana-mana dan ia merupakan satu perkara yang
besar bukan sahaja di negara kita, malah turut juga dihadapi oleh negara-negara
membangun yang lain. Mengapakah keadaan sedemikian berlaku?
Di dalam surah Asy Syura ayat 30, Allah berfirman yang membawa maksud;
“Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (akibat perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa), dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dosa-dosa kamu.”
Sebagai
individu, apakah yang patut kita lakukan untuk mengatasi masalah pencemaran
alam sekitar kita pada hari ini?
Sebenarnya
kuasa untuk menyelamatkan alam sekitar adalah terletak di tangan kita
sendiri. Bila-bila masa sahaja kita boleh katakan ‘tidak' kepada pembasmian
hutan dan juga persekitaran yang kotor. Sebagai contoh, kita mempunyai kuasa
untuk mendesak para pemaju dan penjaja supaya mereka lebih ‘mesra alam' dalam
menjalankan kerja mereka.
Kita sebagai
individu juga mempunyai pilihan untuk tidak membeli rumah dalam kawasan ladang
yang mana pemaju telah menebang semua pokok untuk tujuan pembukaan kawasan
perumahan. Kita sepatutnya bertanya pada diri kita sendiri, mengapa perlu kita
tinggal di kawasan persekitaran yang tidak selamat dan selesa? Hanya kita
sendiri sahaja yang berhak untuk katakan ‘tidak' ataupun ‘ya' dalam memastikan
kita hidup dalam suasana persekitaran yang bersih dan selesa.
Bagi memastikan
persekitaran kita selamat untuk didiami, orang awam perlu mengambil berat dan
memberi perhatian terhadap kebersihan di dalam dan juga di luar rumah mereka
terlebih dahulu. Ini kerana menjaga kebersihan alam sekitar perlu berakar umbi
dari rumah. Setiap anggota masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi
dalam menjaga kebersihan, misalnya tidak sesuka hati membuang sampah ke dalam
longkang dan sistem perparitan, kerana ia akan menyebabkan sistem saliran
tersumbat dan akhirnya akan membawa kepada masalah-masalah lain seperti
berlakunya banjir dan sebagainya.
Bukan itu
sahaja, malah kita juga memerlukan penguatkuasaan yang bersepadu dalam
membanteras pembalakan haram. Ini kerana, pembalakan haram merupakan salah satu
daripada kegiatan yang turut memusnah dan mencemar alam sekitar kita termasuk
sungai dan juga laut. Daripada kerja pembalakan haram tersebut juga, ia akan
turut membawa kepada musnahnya kebanyakkan habitat semulajadi ikan air tawar
yang sedia ada.
Kewajipan
menjaga kebersihan alam sekitar adalah terletak sepenuhnya di tangan kita.
Sudah tiba masanya setiap anggota masyarakat membuang sikap ‘tak apa' dalam
diri masing-masing untuk melindungi dunia daripada melakukan pemusnahan
terhadap alam sekitar secara berterusan. Ia merupakan tugas dan kewajipan
akhlak kita di muka bumi ini untuk menjaga dan memelihara alam sekitar kita
sebagaimana ia telah memberi pelbagai manfaat kepada kita berabad lamanya.
Selain itu,
kita juga memerlukan proses pembaikan dalam senario pemuliharaan di negara
kita. Langkah yang berkesan perlu diambil dalam memastikan mesej yang jelas
mengenai unsur-unsur pemuliharaan alam sekitar yang betul dapat disampaikan
kepada setiap anggota masyarakat bagi menjamin kebersihan alam sekitar kita
terus terpelihara. Setiap anggota masyarakat perlu sedar bahawa usaha
pemuliharaan patut menjadi teras dalam diri masing-masing, kerana kesedaran
dalam diri setiap individu adalah sangat penting. Jika semua anggota masyarakat
bertanggungjawab dalam memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama untuk
menyelamatkan alam sekitar, pastinya alam sekitar kita akan dapat diselamatkan
dan dipelihara sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment